GERAKAN BACA SAMBIL MENUNGGU (EDISI SEKOLAH)
VISI
Menyemai amalan dan tabiat membaca di dalam diri para pelajar selain
menjadikan amalan membaca bahan ilmiah sebagai satu minat yang bukan
dipaksa dan bukan terhad kepada membaca untuk tujuan peperiksaaan
sahaja.
MISI DAN MODUS OPERANDI
Menyediakan sudut bacaan yang diisi dengan bahan-bahan bacaan ilmiah
di kelas-kelas sekolah rendah dan menengah, yang menyediakan buku atau
majalah berbentuk ilmiah sebagai satu alternatif kepada perpustakaan/
pusat sumber/ sudut NILAM. Para pelajar boleh membaca sementara menunggu
guru masuk ke kelas, atau pada waktu rehat atau selepas sekolah, sambil
menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah.
Aktiviti GBSM di SMK Raja Abdullah, Kuala Lumpur ~ para pelajar dan guru yang terlibat dalam menyediakan sudut bacaan di dalam kelas.
Menggalakkan kerjasama di antara guru dengan murid, terutama dalam
usaha menyediakan sudut bacaan (contohnya, menggunakan tabung kelas
untuk membeli rak buku yang bersesuaian; kami selalu membeli rak di
pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco yang mana harganya amat
berpatutan), menghubungi penerbit untuk mendapatkan tajaan majalah/
bahan bacaan ilmiah atau mungkin melanggan secara pukal dengan harga
diskaun? (secara tidak langsung melatih para pelajar membuat surat
rasmi, misalnya dan berkomunikasi secara efektif dengan pihak-pihak
berkenaan.)
Bagi guru-guru sekolah yang mempunyai inisiatif, anda boleh
menghubungi syarikat-syarikat korporat untuk mendapatkan tajaan sudut
bacaan (rak bersama dengan buku misalnya) dan mengadakan majlis
penyerahan sebagai satu aktiviti sekolah sempena Bulan Bahasa (sebagai
contoh). Kami yakin, ada syarikat-syarikat korporat yang sudi menaja
untuk tujuan ini, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat
syarikat mereka, selain menjadi satu bentuk publisiti yang baik untuk
imej syarikat tersebut.
Menjadi satu lagi medan rujukan bagi para pelajar dan guru selain
daripada perpustakaan/ pusat sumber sekolah, sebagai contoh, untuk
mencari idea bagi menyediakan karangan, melihat contoh-contoh soalan
peperiksaan malah sebagai satu lagi bahan yang boleh digunakan oleh guru
untuk sesi pembelajaran (misalnya, sisipan Kuntum Dalam Darjah (KDD) di
dalam majalah Kuntum terbitan The Star Publications).
Mengadakan aktiviti Cabaran Membaca Sewaktu Cuti Sekolah (seperti aktiviti
Summer Reading Challenge) ini yang menggalakkan para pelajar meminjam buku dari perpustakaan sewaktu musim cuti persekolahan.
Oleh kerana ada majalah-majalah yang menyediakan peraduan,
menggalakkan persaingan/ kerjasama di antara murid untuk menyertainya.
Atau para guru juga boleh membuat pertandingan mereka poster sudut
bacaan sekolah ~ kadang-kadang kita tidak sangka tahap kreativiti para
pelajar!
Mendidik para pelajar menjadi insan yang cintakan ilmu, selain
menyemai sifat sayang dan menjaga harta sendiri (sense of belonging)
kerana sudut bacaan kelas disediakan oleh mereka dan untuk mereka
sendiri dan akan diturunkan kepada junior mereka kelak, sifat jujur dan
amanah (memulangkan bahan bacaan yang telah dibaca ke tempatnya; membaca
dengan cermat) dan sikap mahu berkongsi dan memberi (mungkin ada para
pelajar yang ibu bapa mereka juga terlibat sama dalam projek ini,
Subhanallah! Ia satu bonus!)
CONTOH BAHAN BACAAN YANG BERSESUAIAN
Majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Pelajar,
Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan
Kosmik), Kuntum, E-Baca, Kawan, Komik-M (komik yang menggalakkan
penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ), Reader’s Digest, Quest, Rebung,
Visi (terbitan IKIM), National Geographic, Ana Muslim, Celik, Aulad,
Asuh, Fokus SPM, Pendidik dan banyak lagi (mungkin anda ada cadangan?)
:)
NOTA
Saya cuba melihat projek ini dari sudut yang positif. Jika ada yang
tersilap atau tidak sesuai, saya minta maaf kerana saya menulis daripada
perspektif seseorang yang bukan guru (walaupun saya pernah menjadi
pelajar sekolah dan mempunyai 2 orang anak yang masih bersekolah). Jika
sahabat-sahabat sekalian ada mempunyai idea yang ingin ditambah atau
dikongsikan di sini, kami amat-amat menghargainya! :)