VISI
Menyemai amalan dan tabiat membaca di dalam diri para pelajar selain menjadikan amalan membaca bahan ilmiah sebagai satu minat yang bukan dipaksa dan bukan terhad kepada membaca untuk tujuan peperiksaaan sahaja.
MISI DAN MODUS OPERANDI
Menyediakan sudut bacaan yang diisi dengan bahan-bahan bacaan ilmiah di kelas-kelas sekolah rendah dan menengah, yang menyediakan buku atau majalah berbentuk ilmiah sebagai satu alternatif kepada perpustakaan/ pusat sumber/ sudut NILAM. Para pelajar boleh membaca sementara menunggu guru masuk ke kelas, atau pada waktu rehat atau selepas sekolah, sambil menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah.
Aktiviti GBSM di SMK Raja Abdullah, Kuala Lumpur ~ para pelajar dan guru yang terlibat dalam menyediakan sudut bacaan di dalam kelas.
Menggalakkan kerjasama di antara guru dengan murid, terutama dalam usaha menyediakan sudut bacaan (contohnya, menggunakan tabung kelas untuk membeli rak buku yang bersesuaian; kami selalu membeli rak di pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco yang mana harganya amat berpatutan), menghubungi penerbit untuk mendapatkan tajaan majalah/ bahan bacaan ilmiah atau mungkin melanggan secara pukal dengan harga diskaun? (secara tidak langsung melatih para pelajar membuat surat rasmi, misalnya dan berkomunikasi secara efektif dengan pihak-pihak berkenaan.)
Bagi guru-guru sekolah yang mempunyai inisiatif, anda boleh menghubungi syarikat-syarikat korporat untuk mendapatkan tajaan sudut bacaan (rak bersama dengan buku misalnya) dan mengadakan majlis penyerahan sebagai satu aktiviti sekolah sempena Bulan Bahasa (sebagai contoh). Kami yakin, ada syarikat-syarikat korporat yang sudi menaja untuk tujuan ini, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat mereka, selain menjadi satu bentuk publisiti yang baik untuk imej syarikat tersebut.
Menjadi satu lagi medan rujukan bagi para pelajar dan guru selain daripada perpustakaan/ pusat sumber sekolah, sebagai contoh, untuk mencari idea bagi menyediakan karangan, melihat contoh-contoh soalan peperiksaan malah sebagai satu lagi bahan yang boleh digunakan oleh guru untuk sesi pembelajaran (misalnya, sisipan Kuntum Dalam Darjah (KDD) di dalam majalah Kuntum terbitan The Star Publications).
Mengadakan aktiviti Cabaran Membaca Sewaktu Cuti Sekolah (seperti aktiviti Summer Reading Challenge) ini yang menggalakkan para pelajar meminjam buku dari perpustakaan sewaktu musim cuti persekolahan.
Oleh kerana ada majalah-majalah yang menyediakan peraduan, menggalakkan persaingan/ kerjasama di antara murid untuk menyertainya. Atau para guru juga boleh membuat pertandingan mereka poster sudut bacaan sekolah ~ kadang-kadang kita tidak sangka tahap kreativiti para pelajar!
Mendidik para pelajar menjadi insan yang cintakan ilmu, selain menyemai sifat sayang dan menjaga harta sendiri (sense of belonging) kerana sudut bacaan kelas disediakan oleh mereka dan untuk mereka sendiri dan akan diturunkan kepada junior mereka kelak, sifat jujur dan amanah (memulangkan bahan bacaan yang telah dibaca ke tempatnya; membaca dengan cermat) dan sikap mahu berkongsi dan memberi (mungkin ada para pelajar yang ibu bapa mereka juga terlibat sama dalam projek ini, Subhanallah! Ia satu bonus!)
CONTOH BAHAN BACAAN YANG BERSESUAIAN
Majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik), Kuntum, E-Baca, Kawan, Komik-M (komik yang menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ), Reader’s Digest, Quest, Rebung, Visi (terbitan IKIM), National Geographic, Ana Muslim, Celik, Aulad, Asuh, Fokus SPM, Pendidik dan banyak lagi (mungkin anda ada cadangan?) :)
NOTA
Saya cuba melihat projek ini dari sudut yang positif. Jika ada yang tersilap atau tidak sesuai, saya minta maaf kerana saya menulis daripada perspektif seseorang yang bukan guru (walaupun saya pernah menjadi pelajar sekolah dan mempunyai 2 orang anak yang masih bersekolah). Jika sahabat-sahabat sekalian ada mempunyai idea yang ingin ditambah atau dikongsikan di sini, kami amat-amat menghargainya! :)
No comments:
Post a Comment