Thursday 27 September 2012

Jom Baca #19 - Qyreen Qiesya


Qyreen Qiesya, 4 bulan, mula berjinak-jinak dengan buku fabrik bertema nombor.
Kota Tinggi, Johor Darul Takzim
Kredit gambar : Sdri Azura Hamidun

Jom Baca #18 - Ikmal Haniff


Ikmal membaca risalah mengenai Muar River Cruise ~ menyusuri Sungai Muar dengan menaiki bot.
Muar, Johor Darul Takzim.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti ini, sila layari blog Anak Melayu Bugis ini atau di sini.

Jom Baca #17 - Penjaga kedai-kedai di Tesco Setia Alam

 
  
Membaca sambil menunggu pelanggan.
Tesco Setia Alam, Selangor Darul Ehsan
Kredit gambar: Sdri Zatika Izani 

Wednesday 19 September 2012

Jom Baca #16 - Dr. Rem Dambul


Dr. Rem Dambul (seorang saintis atmosferik daripada etnik Dusun Bunduliwan yang berasal dari Ranau, Sabah) sedang gigih membuat analisis perubahan iklim wilayah Semenanjung Arab di sebuah makmal klimatologi sinoptik di Jeddah.

Sesekali beliau membaca buku 'Rumi: Selected Poems' sebagai terapi mental.

TERKINI!

Dr. Rem telah menghasilkan buku bertajuk Alien Menchari Chinta
(berkoloborasi dengan Sdr. Saharil Hasrin Sanin) yang telah diterbitkan pada awal Disember 2012.


 
 
(kredit gambar: Zunnur Al Shafiq dari NST)

Berita selanjutnya di sini.

Tuesday 18 September 2012

Jom Baca #15 - Cucu Allahyarham Tok Hassan

Cucu Allahyarham Tok Hasan dalam acara bacaan Yaasin. 
Pusara Tok Hasan, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kredit gambar : Sdr Saat Omar

Monday 17 September 2012

Jom Baca #14 - Pengunjung di Klinik Pergigian Jerantut

Para pengunjung membaca majalah yang diwakafkan oleh Gerakan Baca Sambil Menunggu.
Klinik Pergigian Jerantut, Pahang Darul Makmur. 
Kredit kepada Sdri. Zarina Zakaria; Jun 2012.

Jom Baca #13 - Pengunjung di Hospital Kuala Lumpur


Para pengunjung cilik membaca majalah yang disumbangkan oleh Gerakan Baca Sambil Menunggu. 
Klinik Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.

Jom Baca #12 - PyanHabib Rahman


Sdr. PyanHabib Rahman membaca buku Rahsia Victoria karya Bart Ahmad. 
Dalam tren ERL, di antara stesen Bandar Tasik Selatan dan KLIA. 
Sdr. PyanHabib adalah seorang penulis, penyajak dan pelakon.
Beliau menulis di blog p y a n h a b i b
Kredit gambar : Sdri Widd Nurhuda

Sunday 16 September 2012

GBSM : EDISI SEKOLAH/ KOLEJ/ UNIVERSITI

GERAKAN BACA SAMBIL MENUNGGU (EDISI SEKOLAH)

VISI

Menyemai amalan dan tabiat membaca di dalam diri para pelajar selain menjadikan amalan membaca bahan ilmiah sebagai satu minat yang bukan dipaksa dan bukan terhad kepada membaca untuk tujuan peperiksaaan sahaja.

MISI DAN MODUS OPERANDI

Menyediakan sudut bacaan yang diisi dengan bahan-bahan bacaan ilmiah di kelas-kelas sekolah rendah dan menengah, yang menyediakan buku atau majalah berbentuk ilmiah sebagai satu alternatif kepada perpustakaan/ pusat sumber/ sudut NILAM. Para pelajar boleh membaca sementara menunggu guru masuk ke kelas, atau pada waktu rehat atau selepas sekolah, sambil menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah.


Aktiviti GBSM di SMK Raja Abdullah, Kuala Lumpur ~ para pelajar dan guru yang terlibat dalam menyediakan sudut bacaan di dalam kelas.

Menggalakkan kerjasama di antara guru dengan murid, terutama dalam usaha menyediakan sudut bacaan (contohnya, menggunakan tabung kelas untuk membeli rak buku yang bersesuaian;  kami selalu membeli rak di pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco yang mana harganya amat berpatutan), menghubungi penerbit untuk mendapatkan tajaan majalah/ bahan bacaan ilmiah atau mungkin melanggan secara pukal dengan harga diskaun? (secara tidak langsung melatih para pelajar membuat surat rasmi, misalnya dan berkomunikasi secara efektif dengan pihak-pihak berkenaan.)

Bagi guru-guru sekolah yang mempunyai inisiatif, anda boleh menghubungi syarikat-syarikat korporat untuk mendapatkan tajaan sudut bacaan (rak bersama dengan buku misalnya) dan mengadakan majlis penyerahan sebagai satu aktiviti sekolah sempena Bulan Bahasa (sebagai contoh). Kami yakin, ada syarikat-syarikat korporat yang sudi menaja untuk tujuan ini, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat mereka, selain menjadi satu bentuk publisiti yang baik untuk imej syarikat tersebut.

Menjadi satu lagi medan rujukan bagi para pelajar dan guru selain daripada perpustakaan/ pusat sumber sekolah, sebagai contoh, untuk mencari idea bagi menyediakan karangan, melihat contoh-contoh soalan peperiksaan malah sebagai satu lagi bahan yang boleh digunakan oleh guru untuk sesi pembelajaran (misalnya, sisipan Kuntum Dalam Darjah (KDD) di dalam majalah Kuntum terbitan The Star Publications).

Mengadakan aktiviti Cabaran Membaca Sewaktu Cuti Sekolah (seperti aktiviti Summer Reading Challenge) ini yang menggalakkan para pelajar meminjam buku dari perpustakaan sewaktu musim cuti persekolahan. 


Oleh kerana ada majalah-majalah yang menyediakan peraduan, menggalakkan persaingan/ kerjasama di antara murid untuk menyertainya. Atau para guru juga boleh membuat pertandingan mereka poster sudut bacaan sekolah ~ kadang-kadang kita tidak sangka tahap kreativiti para pelajar!

Mendidik para pelajar menjadi insan yang cintakan ilmu, selain menyemai sifat sayang dan menjaga harta sendiri (sense of belonging) kerana sudut bacaan kelas disediakan oleh mereka dan untuk mereka sendiri dan akan diturunkan kepada junior mereka kelak, sifat jujur dan amanah (memulangkan bahan bacaan yang telah dibaca ke tempatnya; membaca dengan cermat) dan sikap mahu berkongsi dan memberi (mungkin ada para pelajar yang ibu bapa mereka juga terlibat sama dalam projek ini, Subhanallah! Ia satu bonus!)

CONTOH BAHAN BACAAN YANG BERSESUAIAN

Majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik), Kuntum, E-Baca, Kawan, Komik-M (komik yang menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) ), Reader’s Digest, Quest, Rebung, Visi (terbitan IKIM), National Geographic, Ana Muslim, Celik, Aulad, Asuh, Fokus SPM, Pendidik dan banyak lagi (mungkin anda ada cadangan?) :)

NOTA

Saya cuba melihat projek ini dari sudut yang positif. Jika ada yang tersilap atau tidak sesuai, saya minta maaf kerana saya menulis daripada perspektif seseorang yang bukan guru (walaupun saya pernah menjadi pelajar sekolah dan mempunyai 2 orang anak yang masih bersekolah). Jika sahabat-sahabat sekalian ada mempunyai idea yang ingin ditambah atau dikongsikan di sini, kami amat-amat menghargainya! :)

Jom Baca #11 - Danish Hakimy

Danish Hakimy membaca buku I Am Not Sleepy and I Will Not Go To Sleep karya Lauren Child.
Taman Setia Indah, Johor Bahru, Johor.
Kredit gambar: Sdri Azza Othman

Jom Baca #10 - Iman Arissa


Walaupun kurang sihat, Iman Arissa sempat membaca buku The Very Busy Bee karya Jack Tickle.
Lokasi : Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor.

Gambar kiriman : Puan Nurul Niza Osman

Friday 14 September 2012

Jom Baca #9 - Ikmal dan Nabil

 Ikmal Haniff dan Nabil Hakimy membaca sementara menunggu makanan yang dipesan.
Restoran Pizza Hut Taman Putra, Ampang, Selangor

Jom Baca #8 - Saat Omar

 
Sdr. Saat Omar membaca akhbar di acara Art for Grabs.
Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Sdr. Saat Omar ialah seorang penulis. Dua buah buku tulisan beliau diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka, iaitu Rahsia Malam Merdeka dan himpunan skrip pentas Satu Dalam Seribu. Sebuah buku terbitan sendiri  (koleksi cerpen dan cerita pendek) bertajuk Alegori Robot Derhaka akan diterbitkan pada pertengahan September 2012.

Beliau meminati buku-buku tulisan Albert Camus, Kazuo Ishiguro, Doestoyevsky dan Ahmad Kamal Abu Bakar sementara buku-buku kegemaran beliau adalah The Outsider (karya Albert Camus) dan A Fine Balance (karya Rohinton Mistry).

Selain penulis, beliau juga pelukis. Beliau menulis di demi masa.

Jom Baca #7 - Azlina Mohadzir

 
Sdri. Azlina Mohadzir membaca akhbar.
Pantai Sanur, Bali, Indonesia.
Kredit gambar: Sdr Ihsan Harry

Thursday 13 September 2012

Jom Baca #6 - Ikmal dan Nabil


Ikmal membaca buku Dora The Explorer, sementara Nabil telah pun memilih buku cerita Thomas the Tank Engine untuk dibawa pulang.
Kedai buku BookXcess, Amcorp Mall, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Jom Baca #5 - Saharil Hasrin Sanin


Sdr. Saharil Hasrin Sanin di Topkapi, Istanbul.
Saharil ialah seorang penulis dan visual artist yang berasal dari Johor.
Beliau menconteng di saharil.com.

Jom Baca #4 - Syafiq dan Syahmi


Syafiq dan Syahmi membaca majalah Bola Kampung sebelum ke sekolah.
Kepong, Kuala Lumpur.
Kredit gambar : Puan Noor Hidawati

Ibu Syafiq & Syahmi merupakan pemilik blog Kedai Adik.

Jom Baca #3 - Iman Haziq

Iman Haziq (6 bulan), membaca Happy Baby Words karya Roger Priddy
Kajang, Selangor Darul Ehsan

Ibu Iman merupakan pemilik blog Iman Shoppe.

Jom Baca #2 - Ikmal Haniff


Ikmal Haniff (10 tahun), membaca komik Lawak Kampus karya Keith.
Hentian Rehat & Rawat Gambang, Kuantan, Pahang Darul Makmur

Jom Baca #1 - Ikmal Haniff

Ikmal Haniff, 10 tahun, membaca komik Lawak Junk Food karya Jo.
Tesco Extra Ampang, Selangor Darul Ehsan 

Tuesday 11 September 2012

Latar belakang Event GBSM Get Caught Reading (Malaysia)


Ini adalah aktiviti anjuran Grup FB : Gerakan Baca Sambil Menunggu (GBSM). Jika anda belum menyertai Grup ini, JOM SERTAI KAMI ! :D

Sila layari http://www.facebook.com/groups/jombaca/ untuk mendapatkan maklumat terbaharu/ keterangan lanjut!

GBSM: GET CAUGHT READING (MALAYSIA)

Bulan Mei adalah bulan ‘Get Caught Reading’ walaupun aktivitinya berjalan sepanjang tahun. Saya rasa masih belum terlambat jika kita mahu mulakan aktiviti GBSM : Get Caught Reading (Malaysia). Beberapa aktiviti yang saya cadangkan (lebih kurang sama dengan gerakan Get Caught Reading di Amerika Syarikat) adalah seperti berikut:-

1. Baca sekurang-kurangnya 3 buah buku dalam bulan Mei ini (dan teruskan hingga ke penghujung tahun!). Kongsikan dengan kami buku apakah yang anda telah baca.

2. Ambil gambar sesiapa sahaja yang anda lihat sedang membaca, tidak kira ahli keluarga, rakan sepejabat, pemandu bas, peniaga barangan runcit di pasar, murid sekolah, SESIAPA SAHAJA yang anda lihat sedang membaca! Selain mempromosikan tabiat membaca, anda juga boleh menonjolkan bakat anda dalam bidang fotografi.



Peniaga pasar malam Pandan Indah ini dilihat membaca buku Kisah Nabi-Nabi sementara menunggu pelanggan.

3. Dermakan buku atau bahan bacaan lain kepada tempat-tempat awam seperti hospital, klinik, sekolah, rumah anak-anak yatim dan sebagainya. Buku-buku mestilah yang baharu atau hampir baharu. Anda boleh bergerak secara individu atau secara berkumpulan.

Salah sebuah institusi yang telah kami berikan sumbangan majalah ~ Hospital Ampang, Kuala Lumpur

4. Cuba untuk mendapatkan sokongan daripada tokoh-tokoh (public figures) tempatan. Sokongan ini mungkin dalam bentuk perkongsian gambar tokoh berkenaan sedang membaca atau berkongsi mengenai buku kegemaran mereka. Tokoh-tokoh ini tidak terhad kepada selebriti sahaja, malahan termasuk tokoh korporat, ahli sukan, penulis, pelakon, pengarah filem, personality TV, penyanyi, guru, pensyarah, blogger, doktor, chef, sesiapa sahaja yang anda kira boleh menjadi contoh tauladan (role model) yang baik dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk membaca.

5. Kempen Baca 15 Minit Sehari ~ Tidak kira anda membaca dengan para pelajar, anak-anak, keluarga, sahabat sepejabat – BACA apa saja dalam masa 15 minit dan kongsikan dengan kami. Pada akhir tempoh sebulan ini, kita lihat berapa ramai yang menyertai kempen ini!

Latar belakang gerakan Get Caught Reading


Get Caught Reading adalah satu kempen yang mengajak orang ramai untuk membaca dan berkongsi tentang keseronokan membaca. Betapa membaca itu sesuatu tabiat yang ‘kool’ dan sesiapa sahaja boleh membaca, tak kira usia, pangkat, darjat, keturunan.

Get Caught Reading menggunakan public figures untuk menggalakkan lagi minat membaca.

Dilancarkan dalam tahun 1999, kempen ini merupakan buah fikiran Cik Pat Schroeder, seorang bekas ahli Kongres di Amerika Syarikat yang juga pemegang jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Persatuan Penerbit-penerbit Amerika Syarikat (AAP). Beliau melihat peluang ini untuk menyebarluaskan keseronokan membaca melalui kempen yang disokong oleh industri penerbitan itu sendiri.

Laman sesawangnya : http://www.getcaughtreading.org/


Selain di Amerika Syarikat, aktiviti Get Caught Reading ini juga telah diadakan di tempat-tempat lain, misalnya di Australia, London dan ada juga gerakan-gerakan lain yang seumpamanya seperti D.E.A.R atau Drop Everything and Read.

Laman sesawang Drop Everything and Read.

Monday 10 September 2012

Siapa kami?


Grup FB Gerakan Baca Sambil Menunggu atau GBSM bertujuan memupuk minat dan tabiat membaca ketika menunggu, tak kira di mana kita berada.

Aktiviti khusus Grup ini adalah menyumbangkan bahan-bahan bacaan kepada ruang-ruang menunggu khususnya di hospital dan klinik. Selain itu, kami juga menyumbangkan bahan2 bacaan kepada mereka yang memerlukan, tak kira di sekolah, asrama anak yatim, rumah ibadat, dan di mana-mana sahaja! Pokoknya, matlamat kami ialah untuk memperkasakan budaya membaca dan melahirkan insan2 yang cintakan ilmu!

Alhamdulillah, sejak penubuhannya pada bulan Mac 2010, sebanyak lebih kurang 2,200++ naskhah buku/ majalah telah disumbangkan kepada pelbagai institusi di 7 buah negeri di Semenanjung Malaysia. Semoga jumlah ini semakin bertambah, Insya Allah!